Penggunaan CRS pada e-hailing masih di peringkat kajian

20

12 OGOS: Kerajaan kini sedang melakukan kajian terperinci penyelesaian jangka panjang berhubung penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan e hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kajian ini dikawal selia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Menurut beliau, pihaknya juga akan terus meneliti maklum balas daripada orang ramai mengenai piawaian yang perlu dalam menggunakan CRS agar ianya terus setara dan relevan dengan standard keselamatan yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

“Dari segi dasar kita akan teruskan penggunaan CRS yang sedang dikaji semula dari segi ketinggian, umur kerana berdasarkan UN Regulation Nombor 2, kita lihat dari segi praktikal.

“Kalau di Jepun, kanak-kanak berumur enam tahun, ada negara Eropah ke 15 tahun ada ketinggian 150cm. Adakah nilai ambang 135cm dan 36 kg ini merupakan nilai ambang yang patut kita terima pakai.

“Kesemua ini dalam peringkat perbincangan dan MIROS sedang membuat penelitian khusus perkara ini tetapi pendekatan kita masih dengan advokasi dan tidak kenakan saman sampai hujung tahun ini,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Bersatu Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris Tubau yang menyatakan jika kerajaan bercadang untuk memperluaskan penggunaan CRS terhadap e-hailing.

Terdahulu, menjawab pertanyaan Zakaria berhubung sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan CRS yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020 pada sektor pengankutan awam, Ka Siong memberitahu, buat masa ini, pemakaian CRS hanya diwajibkan kepada kenderaan persendirian sahaja.

Beliau menambah, pengecualian turut diberikan kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang besar yang tidak membolehkan peralatan CRS dipasang dengan sempurna di dalam kenderaan tersebut.

“Kerajaan amat prihatin dengan kos pembelian peralatan CRS yang dihadapi oleh ibu bapa. Kerajaan juga sedar bahawa wujudnya kekangan untuk memperluaskan perlaksanaan peraturan CRS kepada kenderaan perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekpress, teksi dan kenderaan e-hailing di atas faktor praktikaliti.

“Sebagai contoh, peralatan CRS mungkin tidak sesuai untuk dipasang di atas tempat duduk di dalam bas juga kekangan menyediakan peralatan CRS yang bersesuaian untuk satu kanak-kanak oleh perkhidmatan teksi dan e-hailing, mengambil kira saiz kanak-kanak yang berbeza-beza.

“Saya telah mengarahkan MIROS untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta pihak pembuat dan pengimport CRS ke arah mengurangkan kos jualan CRS. Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, penggunaan CRS adalah digalakkan. Penyedia perkhidmatan adalah digalakkan untuk menyediakan CRS Universal bagi kegunaan pelanggan,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.