Mohd Zaidi calon BN PRK DUN Slim

244

12 OGOS: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media di Dewan Rajawali, Felda Residence Trolak, Perak, hari ini.

Mohd Zaidi, 43, berkata, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan DUN Slim apabila dipilih kelak.

“Saya mohon semua pihak bersama menggembleng tenaga dan usaha membantu kemenangan BN,” katanya ketika berucap selepas pengumuman tersebut.

MOHD ZAIDI AZIZ
MOHD ZAIDI AZIZ

Beliau bekerja sebagai usahawan dan memiliki ijazah sarjana muda Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) setelah menamatkan pengajian pada 2001.

Bapa kepada 4 anak itu berkahwin dengan Juliana Sarip, 43 dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Tanjung Malim.

Selain itu, Mohd Zaidi pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Minda Selangor (INMINDS) pada 2004 hingga 2007 dan Pegawai Pemantau Khas kepada Menteri Besar Selangor mulai 2007 hingga 2008.

Dari segi politik, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO (2015-2018), Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim (2018-kini) dan Ketua UMNO Cawangan Slim Village (2018-kini).

Mohd Zaidi berpengalaman luas dalam kegiatan pertubuhan belia dan kini menyandang jawatan Setiausaha Agung Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean (CAYC) dan Timbalan Presiden Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FPKB).

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia dari 2014 hingga 2018 serta Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mulai 2001 hingga 2003.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Setakat ini, PH masih belum mengumumkan calon yang bakal diletakkan untuk bertanding dalam PRK DUN Slim. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.