Kepingan emas edisi merdeka Yapeim Gold

112

12 OGOS: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menerusi Yapeim Gold Sdn Bhd melancarkan kepingan emas edisi khas Merdeka 2020 sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Kepingan emas itu didatangkan dengan dua koleksi seberat satu gram dan boleh didapati pada harga RM320 bagi setiap satu.

Ia boleh ditempah secara terus di cawangan Yapeim Gold atau menerusi dalam talian.

Zulkifli berkata, dengan penghasilan produk terbaru itu, Yapeim Gold sudah mengorak langkah ke hadapan selepas berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan memperkasa konsep pemilikan emas secara patuh syariah di negara ini.

Beliau berkata, emas menjadi satu medium pelaburan popular dan agresif menerusi kenaikan nilainya dari masa ke masa dan ia diperakui sebagai antara mekanisme pelaburan yang selamat.

“Justeru, ia sesuai dijadikan simpanan atau pelaburan senyap bagi masyarakat kerana emas seperti mana yang diketahui mempunyai kadar cairan tunai yang tinggi dan sesuai dijadikan sebagai simpanan peribadi,” katanya semasa berucap melancarkan produk itu di sini hari ini.

Pengarah Urusan Yapeim Gold Sdn Bhd, Zahrin Ibrahim pula berkata, kepingan emas itu boleh ditempah secara terus di Yapeim Gold atau secara dalam talian di www.CMASA.my bermula hari ini.

“Edisi Merdeka ini merupakan kesinambungan koleksi edisi khas petugas barisan hadapan yang pernah dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.