Dosa besar langgar arahan berkaitan COVID-19 – Mufti

42

12 OGOS: Tindakan segelintir individu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 adalah berdosa besar dari segi agama.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tindakan melanggar perintah itu bukan hanya salah di sisi undang-undang malah satu dosa besar kerana membahayakan nyawa orang lain dan melanggar ajaran Nabi Muhammad SAW dalam menangani wabak.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdurrahman Auf bahawa Nabi Muhammad SAW pernah memberi arahan jika kita mendengar (wabak penyakit) taun di satu tempat jangan masuk dan orang yang berada di dalam jangan keluar,” katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.

Beliau berkata inilah yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi menunaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat.

“Rakyat hendaklah patuh kepada arahan dan golongan ahli agama yang berada di dalam kawasan terbabit iaitu ulama, ustaz dan imam perlu ingatkan orang ramai agar jangan keluar dari kawasan wabak dan patuhi arahan kerajaan sehingga tempoh TEMCO tamat,” katanya.

Mohd Asri berkata dalam kes penularan COVID-19, individu yang bersikap degil melanggar arahan adalah berdosa kepada semua orang yang terkena jangkitan dengan wabak yang disebarkan itu.

“Ini perkara serius dan perlu dipatuhi oleh semua orang kerana peranan agama juga adalah menjaga nyawa,” katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan TEMCO di dua kampung dalam daerah Sanglang iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul yang dikuatkuasakan dari 10 hingga 31 Ogos.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.