Defisit hutang, liabiliti negara cecah RM1.264 trilion

78

12 OGOS: Kedudukan hutang dan pendedahan liabiliti kerajaan Malaysia dijangka mencatatkan RM1.264 trilion menjelang akhir 2020 dengan mengambil kira defisit perbelanjaan 2020 termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri, berkata jumlah itu mengambil kira defisit keseluruhan bagi tahun ini termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan kesan penularan COVID-19.

Abd Rahim berkata, berdasarkan kepada pemakaian Standard Government Finance Statistic 1986, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM823.8 bilion dengan had statutory, kedudukan hutang adalah pada kadar 53.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada tanggungan komitmen kewangan termasuk jaminan RM166.9 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur seperti pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Lebuh Raya Pan-Borneo Sarawak.

“Kerajaan juga masih menanggung hutang syarikat 1Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32.6 bilion (dengan mengambil kira kadar tukaran RM berbanding dolar Amerika Syarikat) dan liabiliti kewangan lain RM181.4 bilion merangkumi projek PPP, PFi dan PBLT seperti contohnya Projek Pembangunan Putrajaya, kuarters polis, penyelenggaraan kemudahan kerajaan termasuk hospital dan jalan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, sebentar tadi.

Abd Rahim berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Lanang Alice Lau Kiong Yieng yang bertanya mengenai jumlah hutang negara dan liabiliti sebenar kerajaan terkini dan jumlah anggaran hasil pendapatan negara pada 2020.

Mengenai anggaran hasil pendapatan negara pada tahun ini, Abd Rahim memaklumkan, ia dijangka mengalami pengurangan berikutan harga terkini minyak mentah dunia (brent) yang masih rendah iaitu AS$41 setong, berbanding AS$61 setong yang dianggarkan pada pembentangan Belanjawan 2020, yang mana kerajaan pada ketika itu mengumumkan unjuran hasil pada tahun ini adalah sebanyak RM244.5 bilion.

“Berikutan kesan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi, kerajaan mengambil langkah proaktif melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta inisiatif percukaian termasuk pengecualian cukai dan penangguhan bayaran cukai perniagaan dalam sektor pelancongan.

“Justeru, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2020 dijangka mencatat defisit fiskal 5.8 hingga enam peratus berbanding anggaran asal 3.2 peratus daripada KDNK,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.