Cek untuk keagamaan dan kebajikan – saksi

53

12 OGOS: Mahkamah Tinggi sekali lagi diberitahu bahawa kesemua 92 cek yang bernilai hampir RM77 juta yang dimasukkan ke akaun simpanan tetap Yayasan Al Falah adalah untuk tujuan keagamaan dan kebajikan, termasuk membina masjid.

Saksi Pendakwaan ke-87, Muralidharan Balan Pilai, salah seorang rakan kongsi dalam firma Tetuan Lewis & Co, berkata tidak seorangpun penyumbang cek-cek berkenaan adalah anak guamnya.

Muralidharan berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Muralidharan, Al Falah menjadi pelanggan firmanya sekitar Mei 2016.

Ditanya lagi sama ada firmanya terbabit dalam sebarang kerja perundangan atau kebajikan membabitkan projek Al Falah, Muralidharan berkata, tidak.

“Tidak secara langsung. Hanya menguruskan bayaran dan menyediakan kontrak,” katanya.

Dia turut ditanya sama ada firmanya pernah mendengar mengenai Yayasan Akalbudi.

“Sepanjang pengetahuan saya yayasan itu dipengerusikan oleh Zahid dan penubuhannya untuk tujuan keagamaan dan kebajikan,” katanya.

Di dalam keterangan bertulisnya Muralidharan berkata firmanya diminta oleh Al-Falah untuk menyediakan perjanjian membina sebuah masjid di Bagan Datuk. Berikutan itu sebuah fail telah dibuka atas nama Al Falah pada 20 Mei, 2016.

Katanya kesemua 92 cek untuk Yayasan Al Falah adalah atas nama Lewis & Co.

Prosiding perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Raja Rozela Raja Toran yang dibantu oleh Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Lee Keng Fatt dan Gan Peng Kun.

Barisan peguambela pula diketuai Hisham Teh Poh Teik yang dibantu Hamidi Mohd Noor, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Aiman Abdul Rahman.

Perbicaraan bersambung esok. Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.