Bentang ‘Tawaran Baharu’ pulih ekonomi negara – Zahid

56

12 OGOS: Kerajaan disarankan supaya membentangkan ‘Tawaran Baharu’ sebagaimana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) supaya hala tuju dan pelan yang lebih komprehensif termasuk langkah-langkah penjimatan untuk tempoh dua hingga tiga tahun diperkenalkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, memandangkan belum ada tanda-tanda wabak COVID-19 akan tamat dalam tempoh dua hingga tiga tahun, perancangan yang teliti, kreatif dan inovatif perlu diusahakan dengan lebih agresif.

Menurut beliau, perancangan itu perlu mengoptimumkan semua tenaga-tenaga pakar, syarikat berteraskan penyelidikan dalam negara selain kerjasama dengan negara-negara luar.

“Kerajaan perlu berdisiplin meminimumkan kos dan menghasilkan impak terbaik melalui perkongsian sumber ini,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Zahid menambah, sebarang dasar dan polisi ekonomi yang bakal dibuat kelak hendaklah memiliki sifat adil kepada semua pihak termasuk pekerja, majikan, pemilik perniagaan, badan korporat dan para petani di luar bandar.

Beliau memberitahu, pembahagian kek ekonomi yang saksama adalah sangat mustahak bagi memastikan tiada pihak rasa dipinggirkan di negara ini.

“Sepanjang tempoh wabak COVID-19 ini melanda seluruh dunia dan di sebalik kita menyaksikan laporan berkaitan penutupan perniagaan, kebankrapan beberapa syarikat gergasi, pembuangan pekerja dan sebagainya, tetapi masih ada beberapa industri yang mengaut untung berlipat kali ganda dari kebiasaan terutamanya industri yang berkaitan dengan kesihatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan perlu menyemak semula dasar-dasar sedia ada supaya tidak menghimpit perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membina semula perniagaan di tengah-tengah kesan domino keruntuhan ekonomi dunia.

“Segala usaha dan perancangan yang dibuat untuk memastikan masa depan rakyat dan negara lebih terjamin, hanya boleh dicapai sekiranya rakyat sendiri berusaha ke arah itu,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.