Air mata buaya tagih simpati atau takut?

308

Oleh: HUSSAINI AMRAN

GAMBAR Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew menangis sambil berpeluk-pelukan dalam sidang media di Pulau Pinang semalam menjadi modal terbaharu DAP untuk meraih simpati daripada penyokong-penyokong tegarnya.

Konon-kononnya Betty menjadi mangsa politik balas dendam yang sebenarnya menyasarkan suaminya yang pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal dan Menteri Kewangan hanya selama 22 bulan.

Apat jelas, tidak nampak pula apa kaitan tuduhan jenayah rasuah terhadap Guan Eng, Betty dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dengan politik balas dendam.

Begitu juga dengan dua pertuduhan lain berkaitan skandal terowong dasar Pulau Pinang yang dihadapi Setiausaha Agung DAP itu.

Yang jelas, undang-undang di Malaysia khususnya dari segi pencegahan rasuah tidak memilih bulu.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri pun boleh dihadapkan ke mahkamah sekiranya ada tuduhan terhadap mereka.

Kita dapat melihat sendiri keperitan yang dilalui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut berdepan perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Tidak pula kelihatan Najib dan Rosmah menangis sambil berpeluk-pelukan untuk menagih simpati rakyat terhadap mereka.

Sebaliknya, Najib sentiasa bersikap tenang dan tabah menghadapi dugaan yang amat berat menimpa beliau dan keluarganya sehingga akhirnya, majoriti rakyat berdiri di belakang Bossku sebagai tanda sokongan.

Jadi, apakah jawatan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, bekas Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP terlalu istimewa sehingga tuduhan rasuah terhadapnya boleh diputarbelitkan sebagai bermotif politik?

Mungkin Guan Eng ingat rakyat sudah lupa tentang keputusan Pejabat Peguam Negara semasa era Pakatan Harapan (PH) tidak meneruskan pendakwaan tuduhan rasuah terhadap beliau dan Li Koon berhubung pembelian lot tanah dan banglo pada 3 September 2018.

Yang terlupa hanyalah penyokong tegar DAP dan PH yang masih menganggap Guan Eng sebagai seorang pemimpin suci yang bebas daripada melakukan sebarang kesalahan.

Lebih menggelikan hati, ada juga yang menyamakan pertuduhan jenayah rasuah yang dihadapi oleh Guan Eng dengan perjuangan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang terpaksa meringkuk selama berpuluh-puluh tahun dalam penjara kerana menentang sistem aparteid yang zalim terhadap kaum pribumi di negaranya.

Jika hendak dibandingkan Guan Eng dengan Mandela, memang jauh panggang dari api.

Tidak pasti sama ada drama air mata yang dilakonkan Guan Eng dan Betty semalam berlaku kerana terlalu sedih dengan nasib mereka atau takut dengan hukuman yang bakal dihadapi sekiranya mahkamah mendapati mereka bersalah.

Satu perkara yang pasti, majoriti rakyat Malaysia lebih-lebih lagi mereka yang hidup sukar ketika pemerintahan regim PH dahulu sedikit pun tidak bersimpati dan sedih dengan Guan Eng dan isterinya.

Mereka tidak akan terpedaya sama sekali dengan air mata buaya yang dititiskan pasangan terbabit.

Sementara menunggu mahkamah menentukan sama ada mereka bersalah atau sebaliknya, lebih baik jika Guan Eng tutup mulut.

Berhentilah memutarbelitkan tindakan berani Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tuduhan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin politik di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.