Agong rasmi pusat hemodialisis kedua YASA

159

12 OGOS: Prihatin dengan peningkatan jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis dalam tempoh 10 tahun ini mendorong Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menubuhkan sebuah lagi pusat rawatan berkenaan di ibu negara.

Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Setiawangsa itu adalah yang kedua seumpamanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas yang pertama beroperasi di Cheras pada Ogos 2019.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan berbuat demikian kerana menyedari terdapat keperluan untuk memberikan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya kepada golongan M40 dan B40.

“Seri Paduka juga amat prihatin terhadap nasib rakyat dan pesakit-pesakit buah pinggang kronik yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis.

“Faktor-faktor ini telah mendorong Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong dan anakanda-anakanda menubuhkan pusat-pusat hemodialisis bagi membantu meringankan bebanan kewangan kumpulan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Turut berangkat ialah Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dengan diiringi oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Pusat rawatan yang dilengkapi dengan 12 mesin itu menerima dan membantu pesakit-pesakit yang kurang berkemampuan dengan kos rawatan pesakit dibiayai YASA yang dahulunya dikenali sebagai sebagai Yayasan Istana Abdul Aziz, atau tajaan atau subsidi daripada badan-badan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan majikan.

“Pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di pusat-pusat hemodialisis YASA tidak perlu membayar kos rawatan mereka, ini secara langsung dapat meringankan bebanan kewangan kepada mereka,” titah Al-Sultan Abdullah pada majlis itu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak dua lagi pusat rawatan hemodialisis akan dibina di Raub dan Pekan, Pahang pada akhir tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.