11 kes baru, dua dikesan di Kedah

128

12 OGOS: Sebanyak 11 kes baru COVID-19 dilaporkan dengan tiga daripadanya melibatkan jangkitan tempatan termasuk dua dikesan di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes di Kedah itu melibatkan saringan bergejala di sebuah pusat perubatan.

Katanya, mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan kedua-dua kes ini tidak berkait rapat antara satu sama lain.

“Satu lagi jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara hasil saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, lapan kes yang telah mendapat jangkitan di luar negara dikesan melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

Katanya, semua kes import itu melibatkan kepulangan dari Singapura dengan tiga kes, Filipina (tiga) manakala masing-masing satu kes dari Australia dan Jepun.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM mengambil maklum mesej pesanan ringkas yang tular disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan laman media sosial mengenai kes positif COVID-19 di Lembah Pantai yang melibatkan seorang pelajar dari sebuah sekolah di Seri Pantai.

Namun demikian, katanya, KKM masih menyiasat lanjut kes ini dan laporan dari sekolah terbabit telah diterima mengenai satu kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar.

Susulan itu, jelas beliau, siasatan telah dijalankan mengikut protokol KKM, di mana sebarang kes yang dilaporkan ke KKM akan disiasat terlebih dahulu dan tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu.

“Hasil siasatan mendapati seorang pelajar Tingkatan 5 dari sekolah tersebut telah mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos. Pada 10 Ogos beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan COVID-19.

“Keputusan saringan Demam Denggi didapati positif namun pengesahan ujian COVID-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi,” katanya.

Tambah Noor Hisham, sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, pihak KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

Setakat ini, katanyam seramai 34 orang pelajar dan lapan orang guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut dan setakat uni seramai 28 orang telah disaring manakala 14 orang lagi diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan.

“Semua individu yang disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan. Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti. Pemantauan ke atas kes bergejala dan semua kontak rapat beliau akan terus dilakukan.

“Saya ingin menjelaskan kepada masyarakat bahawa kes COVID-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif COVID-19 selepas ianya diumumkan secara rasmi oleh KKM.

“Laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM. Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” jelasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.