Saksi pendakwaan tidak tahu tugas rakan kongsi

94

11 OGOS: Tak pasti, tak ingat, tak tahu, itulah kata-kata yang sering diungkapkan oleh saksi ke-86 kes perbicaraan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Jawapan pelik saksi terbabit, Premshangar Venugopal kerana beliau tidak mengetahui banyak urusan yang dilakukan oleh rakan kongsinya di Tetuan Lewis & Co, Muralidharan Balan Pilai.

Dalam keterangan bertulisnya sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, Premshangar seringkali menyebut tidak terlibat dengan kebanyakan urusan syarikat yang dikendalikan rakan kongsinya.

Katanya, beliau tidak terlibat dengan pengurusan cek-cek ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co kerana ia diuruskan sepenuhnya oleh rakan kongsinya, Muralidharan.

Malah katanya beliau tiada pengetahuan bagaimana Lewis & Co boleh terlibat dalam pengurusan duit daripada Ahmad Zahid dari permulaan kerana perkara tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Muralidharan.

Premshangar juga mengatakan beliau tidak mempunyai pengetahuan peribadi berkaitan pengurusan dan arahan di fail Yayasan Al-Falah di Lewis & Co kerana fail tersebut diuruskan oleh Muralidharan.

“Tetapi apa yang saya dimaklumkan oleh Muralidharan fail tersebut digunakan untuk merekod urusan berkaitan dengan wang daripada Datuk Zahid Hamidi bagi tujuan kebajikan,” katanya.

Ketika ditanya oleh ketua pasukan pembelaan, Hisham Teh Poh Teik, Premshangar berkata beliau tidak pernah berurusan dengan Ahmad Zahid secara langsung tetapi pernah ke rumahnya beberapa kali.

Bila ditanya sama ada semua wang yang dimasukkan ke akaun adalah milik Yayasan Akalbudi atau Yayasan Al-Falah, Premshangar tidak begitu pasti tetapi mengakui beliau hanya tahu ada fail mengenai Yayasan Al Falah sahaja.

Hisham bertanya ketika dalam perbincangan bersama rakan kongsinya di kediaman Ahmad Zahid adakah beliau diberitahu bahawa akaun simpanan tetap adalah untuk Yayasan Akalbudi, Premshangar berkata tidak pasti dan tidak tahu.

Premshangar bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Hisham bahawa adalah bukan sesuatu yang luar biasa bagi pelanggan-pelanggan syarikatnya membuka akaun simpanan tetap.

“Kita biasa meletakkan duit di dalam simpanan tetap. Contohnya dalam urusan Jual Beli, kita akan letak dalam simpanan tetap bagi tempoh enam bulan untuk pelanggan,” katanya.

Mahkamah turut memanggil semula saksi pendakwaan ke-39, Leong Siew Kong yang mengesahkan selain menerima surat untuk uplift simpanan tetap, beliau juga menyimpan resit untuk dokumen berkenaan.

Siew Kong juga mengesahkan cek Lewis & Co bertarikh 28 November 2016 yang dibayar kepada Yayasan Akalbudi.

Prosiding terpaksa ditangguhkan ke pagi esok kerana ketua pasukan pendakwaan, Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak dapat hadir menyoal saksi seterusnya kerana cuti sakit. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.