RUU Perbekalan Tambahan 2020 dibaca kali kedua

26

11 OGOS: Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dibaca dalam sidang Dewan Rakyat kali kedua hari ini untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan bernilai RM7,005,700,000.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri ketika membuat pembentangan itu berkata, perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM1.072 bilion, RM778.6 juta untuk menampung perbelanjaan luar jangka 2019 dan RM5.155 bilion peruntukan tambahan langsung kepada kementerian/jabatan yang telah diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi daripada peruntukan bagi membiayai perkara-perkara yang komited pada 2019.

Kementerian yang terbabit dalam anggaran perbelanjaan tambahan itu ialah Kementerian Kewangan sebanyak RM3.628 bilion, Kementerian Kesihatan (RM1,179 bilion), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM635.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM623.7 juta), Kementerian Pertahanan (RM362.9 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM313.2 juta) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM77.1 juta).

Perbelanjaan itu juga membabitkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM58.2 juta), Kementerian Industri Utama (RM40.3 juta), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM39.4 juta), Kementerian Kerja Raya (RM16.1 juta), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM15.6 juta), Kementerian Luar Negeri (RM13.9 juta) dan Kementerian Pengangkutan (RM50).

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat petua supaya tempoh bagi setiap proses undi belah bahagian dipanjangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 12(2), 46(4) dan 99.

Beliau berkata, perkara itu diputuskannya selepas mengambil kira prosedur operasi standard bagi mencegah penularan COVID-19 dan tempoh masa yang perlu diambil setiap Ahli Parlimen untuk bergerak daripada blok pentadbiran yang menempatkan pejabat mereka dan blok utama yang menempatkan Dewan Rakyat.

“Bagi proses belah bahagian di mana setiap kali proses ini dijalankan loceng akan dibunyikan selama dua minit dan kemudian persidangan mesyuarat akan ditempohkan selama 10 minit bagi memberi masa kepada semua Ahli Parlimen untuk berada dalam dewan untuk ambil bahagian dalam proses belah bahagian
.
“Kemudian loceng akan dibunyikan semula selama dua minit selepas persidangan mesyuarat ditempohkan bagi membolehkan persidangan dijalankan dan proses belah bahagian dilaksanakan,” katanya.

Berhubung cadangan Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya saringan COVID-19 dilakukan ke atas semua Ahli Parlimen dan petugas Parlimen sekali lagi, Azhar berkata beliau akan merujuk kepada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.