Projek baiki landasan Tumpat-Gemas siap 2021

80

11 OGOS: Kerja pembaikan perkhidmatan kereta api secara terus dari Tumpat ke Gemas mengalami kelewatan berpunca daripada beberapa faktor dan dijangka siap pertengahan 2021.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses pembaikan selepas landasan kereta api dan kemudahan berkaitan itu rosak akibat dilanda banjir besar pada penghujung 2014, sepatutnya mengambil masa antara 24 hingga 36 bulan untuk siap.

Walau bagaimanapun, katanya, beberapa cabaran, termasuk faktor cuaca, operasi semasa dan tempias Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan COVID-19 menyaksikan kerja pembaikan landasan kereta api berkenaan tergendala.

“Dari Tumpat (Kelantan) ke Kuala Lipis (Pahang), kita masih ada perkhidmatan tren tidak ekonomi, bermaksud murid nak ke sekolah kita masih sediakan, pembaikan dibuat ketika landasan yang masih ‘hidup’.

“Masa untuk menjalankan kerja-kerja pula seterusnya dihadkan hanya empat jam. Berhubung isu tiga kontraktor yang mengendalikan kerja ini, ada yang cekap, ada yang lambat 25 peratus.

“Kita sudah ambil tindakan, kita akan saman sekiranya mereka tidak menepati syarat, namun kita tekankan supaya ia (siap) pertengahan 2021,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai punca kelewatan pembaikan khidmat kereta api secara terus dari Tumpat ke Gemas, yang sebelum ini sepatutnya dijangka siap tahun lalu.

Beliau menambah, kerajaan memang memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih kerosakan yang dialami oleh rangkaian keretapi bagi jajaran Gemas–Tumpat termasuk kerosakan akibat bencana banjir pada penghujung tahun 2014.

Ka Siong berkata banjir yang melanda sektor Pantai Timur pada 22 Disember 2014 telah mengakibatkan kerosakan teruk pada infrastruktur landasan, peralatan persemboyanan dan juga jentera penyelenggara landasan yang telah ditenggelami air.

Katanya, antara kerosakan infrastruktur landasan yang dialami adalah tanah runtuh, landasan terhakis dan ditenggelami air serta jambatan keretapi yang telah dihanyutkan air.

Selain itu, berlaku kerosakan teruk terhadap bangunan pejabat, stesen dan kuarters terutamanya di kawasan Manik Urai, Dabong, Kemubu, Kuala Krai dan Chegar Perah.

“Berikutan itu, kerajaan telah memperuntukan dana berjumlah RM874.7 juta bagi membaikpulih infrastruktur landasan dan stokereta di sektor Pantai Timur.

“Peruntukan ini terdiri daripada dana berjumlah RM778.0 juta bagi projek membaikpulih infrastruktur landasan bagi sektor Gemas ke Tumpat dan RM96.7 juta bagi program pemulihan stesen dan lain-lain infrastruktur keretapi yang terjejas akibat musibah banjir besar yang telah melanda negeri di Pantai Timur.

“Keseluruhan kerja membaik pulih infrastruktur landasan di sektor Pantai Timur ini dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2021,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.