PRK Slim: SPR hantar 23,904 kad pengundi

30

11 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menghantar sebanyak 23,094 kad pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Slim untuk memudahkan pengundi berdaftar menyemak segala maklumat berkaitan.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan media hari ini berkata, kad itu mengandungi maklumat penting seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Menurut beliau, maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal yang dijadualkan pada 25 Ogos ini dan hari mengundi biasa pada 29 Ogos.

“SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa ditetapkan bagi mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi berkumpul dalam jumlah ramai.

“Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran Wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang telah berkuatkuasa,” katanya.

Ikmalrudin memberitahu, pengundi yang telah menerima kad tersebut tidak perlu lagi membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat tersebut telah dinyatakan dalam kad itu.

Beliau menambah, pengundi tetap perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti sewaktu hari pengundian kelak.

“Bagi mereka yang tidak menerima kad tersebut, masih boleh membuat semakan maklumat pengundian melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK Nombor Kad Pengenalan ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di talian 03-8892 7018. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.