Penubuhan IPCMC boleh aniaya polis – Nazri

181

11 OGOS: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) jika dilaksanakan dikhuatiri boleh menimbulkan penganiayaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berpandangan, Rang Undang-undang IPCMC tidak perlu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) terhadap IPCMC yang hanya ingin menubuhkan suruhanjaya siasatan hanya untuk PDRM dan bukannya agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ

“Suruhanjaya satu perkara besar minta suruhanjaya dilakukan merupakan penganiayaan terhadap polis. Kita dah ada Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan yang mana setiap agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila mereka terbuka pada rasuah ketika berurusan dengan orang ramai.

“Mengapa polis, betul segelintir terlibat tapi jangan menganiaya pihak polis dengan adakan IPCMC. Saya kira undang-undang dahulu penekanan ke arah IPCMC tidak wujud namun kenapa berlaku tidak adil, kalau nak buat, buat suruhanjaya untuk Jabatan Imigresen, JPJ, barulah adil,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamed Nazri memberitahu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu meneruskan penubuhan IPCMC yang sebenarnya salah satu janji dalam manifesto PH

Beliau menambah, IPCMC tidak seharusnya ditubuhkan kerana PDRM mempunyai kursus integriti yang wajib dihadiri supaya semua pegawai dan anggotanya memahami tanggungjawab dan tugasan yang dilaksanakan.

“Kita tengok dalam negara kita ini banyak badan-badan profesional diberikan tanggungjawab dan keyakinan untuk selesaikan masalah disiplin ahli-ahli mereka. Contoh, Majlis Peguam,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.