Pendedahan Asri Janggut: SPRM tahan 3 penguat kuasa MBSA

98

11 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Cawangan Sungai Buloh kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen di sekitar kawasan itu.

Menurut sumber, dalam operasi yang dijalankan bermula jam 9 pagi tadi, tiga pegawai penguat kuasa berusia antara 41 tahun hingga 49 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, ketika dipanggil memberi keterangan.

Dua penguat kuasa dari Cawangan Sungai Buloh dan seorang dari MBSA Shah Alam.

SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

Menurut sumber, peniaga ini telah beroperasi sejak tahun 2019 dan beliau dikatakan menbayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan dikena sebarang tindakan.

Tangkapan ini susulan pendedahan yang tular dua rakaman video dalam media sosial yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan tanpa lesen yang menjalankan haram termasuk penjualan rokok seludup dan aktiviti perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Tambah sumber, penguat kuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300 ke RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan.

Ini termasuk premis-premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat-tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Ada juga yang berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan.

Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak ianya kutipan rasuah secara bersindiket di kalangan anggota penguatkuasa.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguatkuasa untuk tampil memberikan kerjasama.

“Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya,” jelasnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala semua yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.