Dua hari tanpa kes baru dari kluster Sivagangga

44

11 OGOS: Buat hari kedua berturut-turut, tiada kes baru COVID-19 dilaporkan melibatkan kluster PUI Sivagangga yang telah menyebabkan beberapa kawasan di Kedah Perlis diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran Bersasar (TEMCO).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat tengah hari ini sembilan kes baru dilaporkan dengan empat daripadanya jangkitan tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kes-kes berkenaan tidak melibatkan kluster Sivagangga yang telah mencatatkan 45 kes setatakt ini mahupun kluster Kurau sebaliknya melibatkan kes-kes saringan.

Jelas beliau, tiga daripadanya saringan di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Kuala Lumpur melibatkan warga asing manakala satu lagi kes saringan rujukan di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Lima kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Lima kes import tersebut adalah dari negara Jepun (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); India (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Pakistan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); New Zealand (1 kes di Selangor); dan
Singapura (1 kes di Johor),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham, dengan kes sembuh sebanyak enam orang hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 169 kes.

Katanya, sehingga kini, terdapat dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 5,645 orang telah disaring dalam Kluster PUI Sivagangga melibatkan penduduk di tiga negeri di utara.

Katanya, selain 45 yang disahkan positif, terdapat 564 kes masih menunggu keputusan.

“Bagi Kluster Kurau pula, seramai 180 orang telah disaring dari negeri Perak dan Pulau Pinang. Kluster ini juga tidak melaporkan kes baharu, justeru kes positif COVID-19 kekal lima.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini. Situasi terkini juga akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.,” jelasnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.