Keutamaan kerajaan tangani kesan COVID-19

55

11 OGOS: Peruntukan geran RM10,000 bagi setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang dibatalkan akan disalurkan untuk pembangunan negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, keutamaan akan diberikan untuk menangani kesan pandemik COVID-19.

“Untuk geran RM10,000 ini kita berhadapan dengan isu sedikit kerana duit itu kita gunakan wang rakyat yang memerlukan ada kertas kerja. Ada dulu JPKK minta ke luar negara, yang itu kita tak boleh nak layan.

“Justeru itu, tak nafikan hak JPKK untuk memohon kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan kementerian yang boleh memohon berhunung jalan desa, lampu kampung, bantuan rumah, dan bantuan lesen program sosial yang masih berjalan seperti biasa,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berhubung peruntukan geran kepada MPKK dan MPKKP bagi tahun ini masih dilaksanakan atau sebaliknya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Rasah, Cha Kee Chin yang meminta kerajaan memberi pertimbangan agar dana untuk digunakan oleh JPKK dan JPKKP, Abdul Latiff sempat berseloroh agar Kee Chin dapat membantu kerajaan mengeluarkan duit bagi membantu dua jawatankuasa itu di kawasannya.

“RM10,000 satu kampung, kita ada 15,757 kampung dan 873 kampung orang asli kalau dikalikan dengan RM10,000 dekat RM200 juta banyak itu, sebab itu kita tak boleh joli-joli ketika COVID ini.

“Kita akan berikan kepada sasaran yang tepat dan betul tapi macam Yang Berhormat (Rasah) ada peruntukan RM100,000 untuk pembangkang, takkan tak boleh bagi sikit dekat kampung-kampung,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.