KDN bantu kebajikan kanak-kanak di depot imigresen

53

11 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti keperluan memperkenalkan kaedah alternatif bagi memastikan kesejahteraan penghuni kanak-kanak di Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, berkata KDN bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke arah melaksanakan projek rintis Alternatives to Detention (ATD).

Jonathan menegaskan program perintis berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tahanan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

“Menteri Dalam Negeri sedang meneliti kaedah alternatif bagi memastikan kesejahteraan tahanan kanak-kanak di Depot Tahanan Imigresen.

“Kerjasama antara KDN dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha untuk melaksanakan projek rintis ATD secara berperingkat yang disasarkan kepada tahanan kanak-kanak.

“Projek rintis ini juga membabitkan kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Imigresen Malaysia sebagai agensi pelaksana serta dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta KDN menjelaskan apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh KDN dan KPWKM untuk menangani isu kanak-kanak dalam tahanan imigresen termasuk status pelaksanaan projek ATD seperti dipersetujui Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Menteri Dalam Negeri.

Jonathan turut memperincikan pecahan tahanan berumur di bawah 18 tahun mengikut warganegara yang di tahan di DTI setakat 7 Julai lalu.

Jelasnya, keseluruhannya seramai 588 tahanan kanak-kanak warga asing di tahan di DTI seluruh negara.

“Mereka ditahan masing-masing di DTI Ajil (23); Bekenu (38), Belantik (106), Bukit Jalil (192), Juru (4), Kemayan (22), KLIA (10), Langkap (50), Lenggeng (16), Pekan Nanas (4), Semenyih (89), Samunja (6), Machap Umboo (10) dan Tanah Merah (58).

“Pecahan kewarganegaraan tahanan kanak-kanak warga asing merangkumi Bangladesh (4), Kemboja (26), China (25), Indonesia (163), Myanmar (323), Nigeria (1), Filipina (44), Sri Lanka (2), Thailand (9), Vietnam (8) dan tidak dapat ditentukan warganegara adalah tiga orang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.