Harga siling pelitup muka turun RM1 sekeping

35

1 OGOS: Kerajaan menetapkan harga siling pelitup muka tiga lapisan diturunkan kepada hanya RM1 seunit, berbanding RM1.20 seunit sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan ini dilakukan bagi membolehkan stok pelitup muka yang diimport dari luar negara dapat dijual terlebih dahulu bagi mengurangkan kerugian kepada pengimport.

“Saya ingin memaklumkan bahawa harga pelitup muka tiga lapisan ini akan diturunkan kepada RM1 seunit di peringkat runcit, maknanya RM0.95 sen di peringkat pemborong berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kerajaan.

“Kementerian bersedia untuk menurunkan harga tersebut lagi dari semasa ke semasa supaya usaha ini dapat membantu kurangkan beban ibu bapa sediakan pelitup muka kepada anak-anak yang sudah mulakan persekolan dan juga orang ramai,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Stampin, Chong Chieng Jen yang menyatakan rasional kerajaan meningkatkan harga maksimum pelitup muka tiga lapis dari 80 sen sekeping ke RM1.50.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Chieng Jen yang mempersoalkan kerajaan tidak bertindak menurunkan harga topeng serendah RM0.40, Alexander memberitahu, pihaknya perlu mengambil tindakan yang teliti dari pelbagai sudut jika harga itu sesuai untuk dijual kepada orang awam.

“Itu sebab kerajaan berhati-hati, berjaga-jaga turunkan harga, ada pasaran dijual 40 sen tetapi apa kualitinya? Tetap harus berjaga-jaga menetapkan dengan meletakkan satu tahap dengan membincangkan dengan semua stake holder seperti pengguna dan penggilang.

“Mungkin benar kami bertindak lambat tetapi pasti menyelamatkan pengguna itu, itu yang penting bukan sekadar bermain politik nak jadi popular kita turunkan harga bagus untuk politik tetapi tiada keselamatan untuk pengguna itu,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.