Guan Eng, isteri, Li Koon dituduh rasuah

283

11 OGOS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan rasuah.

Guan Eng, 60, dan Li Koon, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Betty secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

PHANG LI KOON

Li Koon pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Betty, 56, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat  ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada  4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara  tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan Guan Eng, Betty dan Li Koon masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Oktober ini.

Guan Eng turut berdepan dua lagi pertuduhan rasuah berkaitan skandal projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Semalam, beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Walau bagaimanapun, bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, beliau semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000.

Rasuah itu didakwa sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Selain itu, pada Jumaat lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek yang sama.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.