Gesa kerajaan lebih proaktif tangani penipuan pelaburan

35

11 OGOS: Kementerian Kewangan (MOF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa memainkan peranan lebih proaktif dan berkesan bagi menangani isu sindiket pelaburan yang sudah menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit dalam kalangan rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, berkata beliau hairan dengan sikap MOF dan pihak berkuasa lain yang dikatakan lambat bertindak terhadap sindiket pelaburan terbabit biarpun ramai mangsa tertipu dengannya.

Jalaluddin berkata beliau dan Ahli Parlimen lain sudah banyak kali membangkitkan mengenai tindakan pihak tertentu menggunakan taktik ‘amat sopan’ untuk menipu duit rakyat.

“Datuk Speaker saya pernah sebut mengenai pelaburan emas oleh syarikat Geneva beberapa tahun lalu di mana kerajaan tahu mengenai penipuannya tetapi saya tidak faham kenapa kita tidak boleh melakukan tindakan awal untuk mengekangnya.

“Bila sudah terlalu ramai rakyat menjadi mangsa barulah kerajaan bertindak menguatkuasakan tindakan undang-undang,” katanya ketika membahaskan usul bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, peringkat dasar di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Terdahulu, Jalaluddin turut membangkitkan isu masalah liputan perkhidmatan jalur lebar (WiFi) di Dewan Rakyat yang tidak boleh diakses olehnya.

Jalaluddin berkata beliau sudah berpindah tempat duduk di Dewan Rakyat namun kali ini dia menghadapi masalah liputan WiFi.

“Saya ingin memberi sedikit pandangan mengenai proses reformasi Dewan Rakyat.. Untuk pengetahuan Datuk Speaker sudah tukar 3 tempat, di sana, di sini dan di sini namun apabila saya masuk ke sini Datuk Speaker saya tidak dapat menggunakan perkhidmatan WiFi.

“Jadi saya minta YB Menteri Komunikasi dan Multimedia tengoklah sikit ini kita belum panjat pokok (kawasan luar bandar) dan kita duduk  dalam Dewan Rakyat tetapi WiFi tak dapat. Saya minta masalah ini diberikan perhatian,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.