Gempa bumi landa Carolina Utara, AS

32

11 OGOS: Lebih 100 bangunan rosak di Alleghany County, di Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) akibat dilanda gempa bumi berskala 5.1 Richter pada Ahad lalu.

Memetik laporan Xinhua, pegawai tempatan menyatakan tiada kecederaan dicatatkan setakat ini.

Gempa, yang paling kuat di negeri di selatan AS itu sejak 1916, terjadi pada sekitar jam 8.07 waktu tempatan pada kedalaman sekitar 9.1 km, yang dianggap sebagai gempa ringan, seperti yang dijelaskan oleh Kajian Geologi AS (USGS).

Pusat gempa terletak berhampiran dengan Sparta, sebuah bandar di Alleghany County yang mempunyai kira-kira 1,800 penduduk.

Penyelaras pengurusan kecemasan Alleghany County, Daniel Roten memberitahu media tempatan WFMY News, beliau belum mendengar kecederaan yang dilaporkan akibat gempa tersebut.

Beliau menganggarkan lebih 100 bangunan rosak di Alleghany County, sambil menambah bahawa pasukannya masih dalam proses penilaian.

Penghuni beberapa rumah terpaksa dipindahkan kerana mengalami kerosakan teruk.

CNN turut melaporkan, gempa bumi itu juga turut dirasai di South Carolina dan Georgia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.