Bekas MB Perak, Dr Zambry dilantik Pengerusi MAHB

334

11 OGOS: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang baru.

Pelantikan Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkuat kuasa esok.

MAHB dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Dr Zambry berikutan Tan Sri Zainun Ali melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas.

Sehubungan itu, Kumpulan dan Lembaga Pengarah MAHB mengalu-alukan pelantikan Dr Zambry dan pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada Zainun atas sumbangan yang tidak ternilai selama berkhidmat dengan syarikat.

“Semasa tempohnya, Tan Sri Zainun telah bertindak untuk kepentingan terbaik Kumpulan pada setiap masa dan sangat teliti dalam memastikan bahawa standard tadbir urus korporat tertinggi dan integriti ditegakkan di seluruh Kumpulan,” kata kenyataan itu.

Zainun telah memainkan peranan dalam membantu Malaysia Airports mengatasi krisis rangkaian KLIA pada tahun 2019 dan juga berperanan dalam perbincangan Perjanjian Pengoperasian baru Malaysia Airports dengan kerajaan.

“Tan Sri Zainun baru-baru ini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Beliau juga menganggotai Lembaga Penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tambah kenyataan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.