Penanam sawit terima hasil jualan lebih tinggi

57

10 OGOS: Para pemain industri dan penanam sawit berpeluang memperoleh hasil jualan buah sawit yang lebih tinggi memandangkan harga minyak sawit negara yang berada pada paras yang agak baik iaitu RM2,800 satu tan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga komoditi dan prestasi eksport minyak sawit mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sehingga menyumbang kepada nilai eksport sebanyak RM22.57 bilion.

“Menariknya ialah harga makin menaik barangkali kerana bila berlaku pandemik COVID-19 ini, Malaysia masih mengeluarkan minyak dan ada negara berhadapan dengan masalah pengeluaran jadi situlah berlakunya permintaan menjadi tinggi dan punca harga tinggi seperti yang berlaku sekarang, dan itu satu rezeki buat kita,” katanya.

Beliau menambah, walaupun berdepan dengan cabaran pandemik itu, strategi kerajaan yang memberi kelonggaran dan kebenaran untuk beroperasi, yang mana pekebun dan peladang kelapa sawit boleh ke ladang, boleh menuai buah tandan segar (BTS) mereka dan kilang boleh beroperasi walau dengan kapasiti minimum pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khairuddin memberitahu, pelbagai usaha sedang dipergiatkan oleh kementeriannya dan MPOB bagi meningkatkan penyertaan pekebun kecil sawit melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara untuk melaksanakan pensijilan MSPO.

Sehingga kini, kesemua 162 SPOC di seluruh negara membabitkan 63,480 pekebun kecil persendirian telah mendapat pensijilan MSPO dengan keluasan 237,876 hektar (24.12 peratus) manakala 231,576 orang pekebun kecil tersusun di bawah kelolaan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri pula dengan keluasan 679,075 hektar (99.64 peratus) turut memperoleh pensijilan tersebut.

“Punca peratusan pekebun kecil persendirian masih kurang mendapatkan pensijilan MSPO adalah kerana tidak semua pekebun kecil berdaftar mengusahakan tanaman mereka, ada yang beralih pada tanaman lain, ada yang tidak aktif dalam menghasilkan tuaian.

“Keduanya, kesedaran bahawa minyak sawit ini perlu kita pastikan dikeluarkan secara mampan dan ketiganya, apabila sifatnya persendirian tidak mudah juga untuk kita pantau aktiviti mereka jadi melalui kempen besar-besaran ini kita harap mesej dapat disampaikan kepada pekebun kecil, yang mana kita nak pastikan minyak sawit kita berada pada standard yang diperakui dunia hingga tidak ada isu lagi yang melibatkan kemampanan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.