Kerajaan PN bantu PKS rancak semula industri

34

10 OGOS: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro akan dibantu oleh kerajaan untuk merancakkan semula industri mereka, agar negara kekal berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran pemulihan ekonomi pada 2021.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kementeriannya bersama agensi lain akan memastikan industri PKS seperti makanan dan minuman, penternakan dan automotif mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut beliau, agensi berkenaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, SIRIM Bhd serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia.

“Kita memerlukan sektor (PKS) ini agar memulakan segera aktiviti mereka, kerana kita mahu ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.

“Ketika ini kita berada di landasan yang betul dalam memastikan sasaran pemulihan ekonomi dapat dicapai,” katanya.

Mohamed Azmin menambah, pembukaan ekonomi sejak Mei lalu juga telah mengurangkan jumlah pengangguran akibat kehilangan pekerjaan daripada kira-kira 860,000 kepada 773,000 orang pada Jun dan angka itu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif.

Sehubungan itu, beliau berharap PKS termasuk PKS mikro agar segera memulakan aktiviti ekonomi dan kementerian akan terus membantu melalui beberapa inisiatif yang ada untuk bergerak maju ke depan bagi meningkatkan produktiviti PKS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.