KDN jumpa Asri, jamin tindakan tegas

109

10 OGOS: Anggota polis yang terlibat dalam apa jua salah laku tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin KDN tidak teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati melindungi sindiket perjudian haram di Sungai Buloh.

“Jika ada aduan yang diberi saya nak maklumkan disini saya akan ambil tindakan tegas. Bukan hanya terhadap orang yang melakukan begitu juga dengan anggota PDRM yang ada disitu.

“Kalau betul-betul mereka terbabit kita akan bagi kepada jawatankuasa disiplin pastikan kita boleh ambil tindakan mengikut disiplin action yang kita akan buat,” katanya kepada media di Parlimen.

Terdahulu, Hamzah mengadakan pertemuan dengan Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Asri Janggut’.

Pertemuan itu dilakukan bagi mengetahui pendedahan tular berhubung aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Ini kerana Hamzah ingin mendapatkan gambaran sebenar daripada Asri berhubung pendedahan yang dibuat menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia tular sejak kelmarin.

Pada masa yang sama Hamzah turut memberi nasihat kepada Asri kerana pendedahan yang dibuatnya boleh mengundang risiko kepada dirinya dan keluarga.

Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan orang ramai tidak sesekali membuat pendedahan secara terbuka mengenai aktiviti haram sebagaimana yang dilakukan oleh Asri.

Sebaliknya Hamzah menegaskan apa sahaja video diserahkan terus kepadanya di KDN.

“Lain kali buat video elok-elok dan hantar kepada saya. Video itu boleh dihantar ke pejabat saya di KDN (Kementerian Dalam Negeri) di Putrajaya. 

“Jangan buat macam Asri diviralkan, nanti jadi macam-macam masalah. Belum sampai kepada saya dah jadi isu. Nanti jadi masalah kepada diri dan keluarga dia (Asri).

“Kalau ada orang nak buat hantar kepada saya dulu. Biar saya tengok dan saya buat penyelidikan yang lebih sesuai mengikut perundangan yang ada,” katanya.

Sebaik sahaja selesai sidang media, Hamzah dan Asri mengadakan lawatan ke lokasi judi haram yang diperkatakan di Bandar Baru Sungai Buloh bagi melihat sendiri situasi dan beberapa premis yang dikatakan dijadikan pusat judi haram.

Turut hadir pada sidang media Parlimen itu, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.