Guan Eng dituduh terima rasuah RM3.3 juta

731

10 OGOS: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari  ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat  dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Walau bagaimanapun, Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, beliau semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000.

Rasuah itu didakwa sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown di sini antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Pertuduhan terhadap Lim dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda  tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau  RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika  sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan  Ramkarpal Singh.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan projek yang sama.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Bekas Menteri Kewangan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan Pulau Pinang dari Persiaran Gurney dengan tanah  besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan dijangka bermula pada 2023.

Beliau juga bakal berdepan satu lagi pertuduhan kes berlainan, dipercayai berkaitan pembelian banglo di bawah harga pasaran, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos ini mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.