Debu Gunung Berapi Sinabung sampai ke Malaysia

95

10 OGOS: Asap debu Gunung Berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia, yang meletus pagi tadi dijangka mula memasuki ruang udara negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung, bermula malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon, berkata asap debu itu antara lain akan memasuki ruang udara Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini (asap debu) boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak menjejaskan kualiti udara negara.

Perkara itu adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana MetMalaysia dan ramalan daripada Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia.

Selain itu, Jailan memaklumkan, tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung berapi berkenaan.

Beliau berkata, keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara juga menunjukkan kualiti udara yang biasa, iaitu pada kadar baik dan sederhana.

Namun, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan maklumat dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial. 

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa bandar utama di negeri berkenaan pada pukul 9 malam ini kebanyakannya berada pada paras sederhana.

Klang misalnya mencatatkan bacaan IPU 82, Seberang Jaya, Pulau Pinang (77) dan Kuala Selangor (76) dan Ipoh (66).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.