Buat saringan COVID-19 sebelum datang Parlimen

44

10 OGOS: Kementerian Kesihatan mengarahkan semua Ahli Parlimen yang hadir atau pulang kawasan berkaitan kluster perebak utama di utara Semenanjung Malaysia membuat ujian COVID-19 sebelum hadir ke Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tindakan itu sebagai langkah mencegah penularan pandemik itu.

Menurut beliau, tindakan berkenaan penting kerana beliau difahamkan ramai Ahli Parlimen pulang ke kawasan masing-masing sempena cuti hujung minggu.

“Sesiapa yang didapati pergi ke dalam kawasan yang diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau PKPD Secara Bersasar atau PKPD Separa dan juga PKDP Setempat.

“Mana-mana YB yang pulang ke kawasan berkenaan maka mengikut arahan Kementerian Kesihatan perlu dibuat ujian COVID-19 sebelum datang semula ke dewan. Saya minta Whip parti memberi penekanan terhadap semua Ahli YB yang berkenaan,” katanya dalam ucapan pembukaan sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Azhar memberitahum Ahli Parlimen bergejala juga disarankan menjalani saringan COVID-19 secepat mungkin bagi mencegah penularan wabak terbabit

Beliau berkata, kumpulan lain Ahli Parlimen yang disaran menjalani ujian COVID-19 termasuk individu dalam siasatan (PUI) atau mereka yang mempunyai kontak rapat pesakit dan individu dalam pengawasan (PUS).

“Seperti diarahkan oleh pihak berkuasa iaitu kumpulan berisiko adalah penting untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di fasa pemulihan di Parlimen Malaysia.

“Pastikan mereka yang bergejala tidak hadir ke Parlimen dan pergi ke fasiliti berhampiran untuk pemeriksaan ujian COVID-19,” ujarnya.

Beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan kes baharu COVID-19 selepas Kluster Sivagangga menular di kawasan berkenaan baru-baru ini. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.