Bersatu masih teguh, tiada bahagian bubar

81

10 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih teguh dan tiada bahagian yang terbubar ekoran tindakan sebilangan kecil ahli-ahlinya keluar parti baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu pembubaran itu tidak timbul kerana bahagian terbabit masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Jika kita melihat Perlembagaan parti, kalau ahli jawatankuasa (AJK) itu berhenti atau diberhentikan, bahagian terbabit tidak bubar kerana MPT boleh melantik atau memastikan bahagian itu tetap wujud.

“Jadi tidak timbul isu terbubar kerana yang berhenti adalah AJK bahagian dan MPT berkuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian bagi mengadakan pelantikan baharu,” katanya dalam sidang media di bilik media bangunan Parlimen, hari ini.

Sejumlah kecil pemimpin termasuk ketua bahagian dan AJK parti khususnya di Selangor mengumumkan keluar parti dipercayai mahu menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) menganggap mereka yang keluar daripada parti itu merupakan golongan terpencil.

Beliau menambah, sebahagian besar ahli parti masih setia bersama dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana parti itu tetap berpegang kepada perjuangannya sewaktu ditubuhkan.

Ketika ditanya berhubung cadangan penubuhan parti baharu oleh Dr Mahathir, Mohd Redzuan berkata, bekas Perdana Menteri itu berbuat demikian kerana bimbang dan mula berasa goyang dengan usaha memperkasakan Bersatu yang dilakukan oleh Muhyiddin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Bersatu bersedia meminda Perlembagaannya bagi memansuhkan jawatan Pengerusi sebagai usaha memantapkan lagi parti.

Mohd Redzuan menyatakan, masalah yang dihadapi Bersatu sekarang adalah berpunca dari situasi di mana terdapat ‘dua nakhoda dalam satu kapal’ sama.

“Kalau kita ada dua nakhoda dalam satu kapal, inilah (masalah) yang kita hadapi. Itulah yang perlu kita terangkan kepada akar umbi dan insya-Allah di masa depan, kalau perlu, kita pinda Perlembagaan (parti) atas dasar memperkasakan parti, kita akan buat.

“Kita sudah nampak masalahnya, hanya perlu seorang nakhoda dalam sebuah kapal. (Kalau perlu) kita akan hapuskan jawatan (pengerusi) itu,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.