Stephen Chow terkilan Nga Kor Ming bolot publisiti

306

9 OGOS: Memang tidak salah bagi mana-mana wakil rakyat untuk meletakkan pelekat yang menunjukkan nama pada barangan yang disumbangkan mereka kepada masyarakat.

Cuma agak kurang manis kalau hanya nama beliau sahaja yang dipaparkan sedangkan program yang dijalankan itu turut mendapat kerjasama pihak lain.

Situasi kurang menyenangkan itu dialami oleh penyelaras pasukan pembersihan ESDA, Stephen Chow Chee Kheong pada majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming semalam.

Nga Kor Ming menyerahkan minyak masak peket kepada peserta projek.

Beliau terkilan kerana barangan seperti apron dan makanan yang disumbangkan kepada peserta program semuanya hanya memaparkan gambar dan nama Kor Ming serta pusat khidmat masyarakatnya.

“Sebenarnya kami, ESDA yang melancarkan pasukan pembersihan ESDA. Tetapi YB Nga Kor Ming mengumumkan kepada para wartawan itu projek beliau.

“Dan kami ingat beliau akan menaja apron yang ada logo dan nama ESDA tetapi yang nampak hanya mukanya dan pusat khidmat masyarakatnya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya semalam.

Stephen memberitahu, beliau hanya menyedari tentang perkara tersebut selepas program berakhir.

Beliau juga kesal kerana Kor Ming didakwa tergesa-gesa meninggalkan majlis tanpa sempat menunggu sesi penerangan projek olehnya.

Stephen meneruskan sesi penerangan selepas Nga Kor Ming meninggalkan majlis.

Sementara itu, seorang netizen yang dipercayai pegawai pusat khidmat Kor Ming menjelaskan, logo dan nama ESDA tidak dicetak pada barangan kerana tidak sempat disiapkan sebelum program berlangsung.

Walau bagaimanapun, logo dan nama Kor Ming sempat pula diletakkan pada barangan yang disumbangkan kepada para peserta termasuk bekas pembungkus makanan.

Luahan perasaan Stephen tersebut turut dikongsikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam laman Facebook beliau. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.