PRK Slim: BN pasti menang hasil sokongan PN

79

9 OGOS: Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana calon BN berkenaan bukan hanya akan mendapatkan sokongan penyokong PAS dan UMNO yang membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN), malah parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau turut menyatakan, BN akan mengenal pasti dan mengumumkan calon terbaik pada 12 Ogos ini bagi mempertahankan kerusi DUN Slim pada 29 Ogos nanti.

Presiden UMNO itu memberitahu, antara kriteria penting calon BN adalah individu berkenaan mestilah mendapat sokongan penduduk setempat, mampu meneruskan legasi dan khidmat cemerlang seperti ditunjukkan oleh penyandang kerusi Slim, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

“PRK Slim adalah PRK ketujuh dan jika kita lihat kerjasama PAS dan UMNO dalam MN berjaya memberikan kemenangan kepada calon BN dalam 6 PRK sebelum ini.

“Dalam PRK ke-7 kali ini BERSATU turut sudah memberikan komitmen untuk membantu kempen BN. Jadi kita dapat kerjasama dan sokongan parti komponen membentuk kerajaan PN maka insya Allah, BN sudah pasti akan dapat mempertahankan kerusi Slim sekali lagi pada 29 Ogos ini,” katanya ketika melancarkan jentera PRK BN di Perak hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam hantar Facebook hari ini berkata,

mahu semua pihak menyelesaikan segala masalah tertunggak di Slim termasuk di Felda dan masyarakat Orang Asli agar rakyat dapat menarik nafas lega.

Beliau memberitahu, kemenangan di DUN Slim akan memaparkan indikator terbaik pilihan pengundi di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Dalam pada itu, saya ingatkan BN jangan ketepikan mana-mana pihak yang mahu membantu mereka nanti.

“Selesaikan segala pertelingkahan, santuni setiap perbezaan dan tumpukan persamaan untuk membela penduduk setempat,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos, berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.