Malaysia atas landasan tepat pulih ekonomi

60

9 OGOS: Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pemulihan pada 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, negara ini berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan peningkatan semula tahun depan berlandaskan rancangan ke arah menyaksikan keluk pemulihan ekonomi berbentuk ‘V’.

“Kita lihat unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang amat kukuh terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 Malaysia iaitu enam hingga lapan peratus, namun ia bergantung kepada bagaimana kita dan dunia menangani krisis kesihatan pandemik COVID-19.

“Kita memantau rapat keadaan ini namun saya amat optimistik setelah melihat fakta dan angka yang dibentangkan kepada kita khususnya bagi Jun dan Julai,” katanya.

Beliau menambah, kadar pengangguran Malaysia yang susut 0.4 mata peratusan kepada 4.9 peratus pada Jun 2020 daripada paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 mengikut Jabatan Perangkaan juga satu petanda yang baik.

“Ini bermakna apabila ekonomi dibuka semula pada 4 Mei dan industri pula dibuka semula secara beransur-ansur…pekerjaan juga bertambah baik. Ini merupakan petanda awal bahawa kita berada di landasan yang betul untuk pulih,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu, sebagai perbandingan, pada Jun 2020, kadar pengangguran di Filipina mencecah 17.7 peratus, India (11 peratus), Amerika Syarikat (11.1 peratus) dan China (5.7 peratus).

“Kebanyakan negara Eropah juga mencatatkan angka pengangguran dua digit tetapi bagi Malaysia kadar pengangguran masih terkawal,” jelasnya.

Namun, beliau menjangka prestasi KDNK negara bagi suku kedua 2020 mencatatkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata suku kedua 2020, yang prestasinya dijadual dibentangkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat depan, adalah tempoh mencabar kerana ketika itulah PKP dilaksanakan selain penutupan ekonomi negara sehingga 4 Mei.

“Oleh yang demikian, saya jangka ekonomi ini mengalami penguncupan pada suku kedua 2020. Bagaimanapun, kita tidak sendirian kerana ini adalah kesan pandemik secara global, lebih 150 negara di dunia akan menghadapi penguncupan ekonomi pada 2020,” katanya.

Mengenai suku ketiga 2020, Tengku Zafrul berkata prestasi ekonomi Malaysia bagi tempoh itu akan bergantung kepada usaha negara menguruskan dan menangani pandemik COVID-19.

“Sekiranya kita berjaya mengekalkan pertumbuhan, suku ketiga 2020 sewajarnya lebih baik daripada suku kedua 2020.

“Namun suku keempat juga bergantung kepada bagaimana langkah ekonomi global untuk meningkat kerana seperti yang anda ketahui, kita merupakan ekonomi yang sangat terbuka dan Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.