KPN hargai netizen berani dedah kegiatan haram

304

9 OGOS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memuji tindakan individu yang membuat pendedahan berani mengenai kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh, seperti yang tular dalam media sosial beberapa hari lalu.

Berikutan itu, beliau emberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh.

Abdul Hamid juga menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan jenayah terbabit.

“Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.

“Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam dua versi video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia itu turut mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.

Selain itu, video yang dirakam menerusi tinjauan semasa menaiki kereta itu juga mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.

Malah, video berdurasi 13.28 saat sudah ditonton oleh 3.6 juta orang selepas 18 jam disiarkan, satu lagi video berdurasi 8.29 saat ditonton oleh 1.4 juta penonton sehingga hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.