Jangan buat spekulasi nahas pesawat Air India

53

9 OGOS: Kementerian Penerbangan Awam India memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca insiden pesawat Air India Express yang menjunam jatuh 10 meter dari landasan dan terbelah dua ketika hujan lebat kelmarin.

Memetik laporan AFP, pelbagai pihak sebelum ini mempersoalkan tentang keadaan lapangan terbang Kozhikode di Kerala, selatan India yang dianggap berbahaya.

Lapangan terbang tersebut mempunyai landasan dengan tebing curam di kedua-dua belah hujungnya.

Kotak hitam pesawat Air India Express yang membawa 190 penumpang dan krew itu sudah ditemui dan siasatan menyeluruh akan segera dilakukan.

Menteri Penerbangan, Hardeep Sing Puri mengakui mengenai masalah landasan itu yang sebelum ini dibangkitkan pihak berkuasa penerbangan awam.

“Saya harap semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan pemerhatian sendiri,” katanya dalam ciapan Twitter.

Media India memetik data dari laman sesawang pengesanan penerbangan memaparkan pesawat itu dilihat berusaha mendarat sebanyak dua kali, selain mangsa memaklumkan stesen televisyen tempatan bahawa pesawat itu naik dan turun berulang kali sebelum mendarat.

Pesawat Air India Express Boeing 737 itu dalam perjalanan dari Dubai, bagi membawa pulang rakyat India yang terkandas akibat COVID-19 sebelum tergelincir dari landasan memasuki tebing ketika hujan lebat di Kozhikode.

Insiden itu mengorbankan seramai 18 mangsa dan mencederakan 149 orang yang masih dirawat di hospital.

Sebelum insiden itu, Kerala dilanda banjir besar dan tanah runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.