178 individu ditahan ingkar arahan PKP

51

9 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 178 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai lapan orang telah direman.

“Seramai 169 individu lagi dikenakan kompaun manakala seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, PDRM turut menangkap seorang warga asing atas kesalahan imigresen hasil 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 20 individu yang pulang dari luar negara telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana positif COVID-19.

“Sejak 24 Julai sehingga 8 Ogos 2020, seramai 8,011 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 30 hotel dan lima institut latihan awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,733 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 1,697 premis didapati mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 35 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP dan dua premis pula diberi amaran kerana tidak patuh SOP. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.