Profesionalisme Tengku Zafrul menepati kehendak rakyat

172

8 OGOS: Walaupun baru dalam pentadbiran kerajaan, namun keupayaan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan tembelang pimpinan era Pakatan Harapan dan bekas Peguam Negara (AG) menerusi fakta meyakinkan dan penuh profesional wajar dicontohi ahli politik lain.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata perkara seperti ini mewujudkan pandangan positif di kalangan rakyat kerana tindakan yang dilakukan oleh Zafrul bukan berlandaskan politik tetapi demi kepentingan negara.

“Sesiapa jadi menteri pun, mereka perlu memegang amanah negara dengan telus serta jujur. Tengku Zafrul dah bagitahu sesuatu yang betul, jujur dan itulah yang dipangggil profesional dalam politik.

“Bukan belit sana sini. Apa kita hadapi ini bukan politik tetapi soal negara – sesuatu yang beliau buat dalam mempertahankan negara dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh semua kerana rakyat dah bosan dengan politik.

“Politik kini lebih mempertahankan parti itu tidak betul. Sepatutnya mereka mempertahankan kebenaran, kejujuran dan mempertahankan negara, itu namanya politik tapi kalau untuk parti sahaja itu sesuatu yang salah,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang tindakan Zafrul mendedahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya turut berhasrat untuk membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan Goldman Sachs di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Zafrul mendedahkan terdapat sepucuk surat bertarikh 11 Februari 2020 daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bank pelaburan antarabangsa itu bersetuju untuk menaikkan tawaran mereka kepada AS$1.75 bilion.

Jumlah itu menurut surat berkenaan adalah merangkumi cukai sebanyak AS$164 juta dan pulangan fi sebanyak AS$567 juta yang telah diterima oleh Goldman Sachs yang bercanggah dengan kenyataan Tommy Thomas yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak harus menerima penyelesaian luar mahkamah.

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff turut memuji dengan tindakan Menteri Kewangan yang berani mendedahkan Tommy pernah berhasrat untuk menyelesaikan isu berhubung penyelesaian hutang tertunggak oleh bank pelaburan Goldman Sachs di luar mahkamah.

“Beliau seorang yang sangat berani memandangkan beliau bukanlah seorang ahli politik dan lebih dikenali sebagai tokoh perbankan negara. Jadi apabila menyuarakan perkara ini sudah pasti beliau mempunyai fakta yang jelas kerana tindakan ini mempunyai risiko tinggi.

“Jadi, ini satu kenyataan yang berwibawa yang mampu meranapkan kritikan dibuat oleh yang sebelum ini terlalu mengkritik kerajaan,” katanya.

Sementara itu, pendedahan itu juga telah membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat bahawa bekas Peguam Negara itu telah melakukan pembohongan selama ini.

“Tindakan beliau ini boleh dipersoalkan kerana selama ini mereka mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) walhal beliau cuba menutup apa yang sebenarnya mereka lakukan seolah-olah tidak pernah bersetuju dengan langkah diambil oleh kerajaan,” katanya. -AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.