Parti Tun M pecahkan kuasa politik Melayu

119

8 OGOS: Kuasa politik orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pasti berpecah disebabkan tindakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy tidak menafikan penubuhan parti itu bakal memberikan persaingan namun akan membawa kepada berlakunya banyak pertembungan di antara parti-parti Melayu.

Menurut beliau, tindakan ini akhirnya menyebabkan undi-undi orang Melayu berpecah yang memberi kesan negatif dan merugikan orang Melayu.

“Kena fikirkan perkara ini secara mendalam di samping sejak PRU14 lagi, soal penyatuan orang Melayu telah dibincangkan yang kita lihat telah wujudnya kerjasama antar UMNO, Pas dan Bersatu yang akhirnya membentuk sebuah Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini membuktikan pentingnya komitmen dan kerjasama antara orang Melayu untuk mereka kembali berkuasa. Tapi dengan adanya parti baharu ini, undi orang Melayu akan terus berpecah kerana terlalu banyak parti Melayu yang bertanding pada PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pertembungan parti-parti Melayu ini sepatutnya dielakkan.

“Jadi bagaimana hendak mengukur kejayaan sebuah parti Melayu pada PRU15 nanti? Kita tak mahu nanti undi orang Melayu jatuh merosot berbanding PRU14 kerana ia akan memberi ruang kepada DAP dan juga parti-parti bukan Melayu lain untuk meraih sokongan.

“Orang Melayu perlu sedar tentang perkara ini dan melihat sejauh mana mereka mampu berkuasa pada PRU15 nanti. Belajar dan ambil iktibar daripada PRU14 kerana itu punca kenapa PN wujud,” katanya.

Dalam pada itu, Sarah memberitahu masih terlalu awal untuk Mahathir mengesahkan bahawa beliau mampu meraih sokongan kira-kira 10 hingga 15 peratus pengundi Melayu.

“Apa yang jelas undi Melayu akan berpecah.

“Namun terlalu awal untuk membuat ramalan ini berikutan perpecahan undi, apatah lagi rakyat sedang melalui tiga fasa pemerintahan yang berbeza iaitu BN (Barisan Nasional), PH dan kini PN. Jadi mereka boleh bandingkan mana yang terbaik,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.