Mara serah SPRM siasat isu pembelian aset di Melbourne

81

8 OGOS: Siasatan penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) lebih tujuh tahun lalu diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azizah Mohd Dun, berkata pihaknya sudah memberikan kerjasama sejak kes itu dibangkitkan pihak berkuasa Australia pada pertengahan 2015.

“Dengan ini saya menegaskan bahawa pendirian Mara sejak dahulu lagi adalah jelas iaitu menyerahkan kes ini untuk disiasat sepenuhnya oleh SPRM,” katanya dalam kenyataan.

Beberapa Ahli Parlimen PKR dan DAP menggesa siasatan ke atas isu pembelian hartanah di Melbourne diteruskan semula setelah terdapat perkembangan kes berkenaan di negara itu.

Ini susulan pihak berkuasa Australia membuat pendakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada Mara Inc pada 2013.

Azizah berkata, Mara menghargai keprihatinan orang ramai serta media dalam isu berkenaan.

“Bagaimanapun, saya menyeru semua pihak memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sejak 2015, Mara mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan SPRM terhadap anak syarikatnya, Mara Inc, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai kanan kerajaan menerima suapan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh Mara untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila melanjutkan pelajaran di Australia.

Dilaporkan SPRM telah memanggil lebih 20 saksi sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan dengan ada beberapa pegawai kanan direman berhubung kait kes tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.