Malaysia sumbang RM1 juta untuk Lebanon

85

8 OGOS: Malaysia menyumbangkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM1 juta kepada Lebanon susulan tragedi letupan bahan kimia di Pelabuhan Beirut, Selasa lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan yang disalurkan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lebanon (LRC) itu dilakukan bagi membuktikan semangat persaudaraan yang akrab bersama negara itu.

Menurut beliau, kerajaan dan rakyat Malaysia bersimpati dengan kejadian yang berlaku dan akan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Lebanon.

“Kami berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan saudara kami di Lebanon dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.

“Malaysia percaya dan yakin rakyat Lebanon mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat dan perpaduan berterusan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Letupan kuat di pelabuhan itu Selasa lalu menggegarkan ibu kota Beirut dengan lebih 150 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 4,000 cedera.

Kejadian pada pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) di gudang dekat pelabuhan itu menjejaskan beratus-ratus kediaman dan bangunan berhampiran, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Gudang tersebut menyimpan ammonium nitrat dan antara yang terbunuh adalah Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.