Ingkar PKPP, 180 ditahan polis

57

8 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 180 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 16 telah direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 57,066 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 2,301 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,705 anggota telah membuat pemantauan di 3,489 pasar raya, 5,394 restoran serta 1,458 penjaja, 930 kilang, 3,550 bank dan 790 pejabat kerajaan.

“Pemantauan juga dilakukan di 1,375 terminal pengangkutan darat, 278 terminal pengangkutan air serta 123 terminal pengangkutan udara oleh Task Force Operasi Pematuhan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, tiga lagi warga asing ditahan pihak berkuasa semalam kerana melakukan kesalahan imigresen hasil Operasi Benteng yang dijalanlan di seluruh negara.

“PDRM telah membuat 61 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 31,184 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menangkap 3 warganegara asing kerana kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” jelasnya.

Tambah beliau, pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 2,643 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 2,551 premis mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Kata beliau, sebanyak 87 premis pula diberi nasihat kerana tidak patuh SOP manakala lima lagi premis diberi amaran kerana tidak mematuhi peraturan berkaitan.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya
sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya.

Mengenai kepulangan rakyat dari luar negara, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 7,364 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 30 hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, N.Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

“Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif COVID-19,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.