Tuduh pendakwaan politik, Khairy kata DAP pelik

565

7 OGOS: Tindakan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan pendakwaan ke atas Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng jelas menunjukkan sekali lagi bagaimana sikap dwi standard mereka terhadap perjalanan undang-undang negara.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, sedangkan dalam tempoh dua tahun yang lalu, ramai pemimpin UMNO dihadapkan ke mahkamah tetapi ahli-ahli menghormati proses yang telah dibuat.

“Apabila kena batang tubuh mereka, habis dihina sistem kehakiman negara. Sedangkan hanya pada minggu lalu, mereka sanjung mahkamah apabila keputusan kes melibatkan pemimpin UMNO sesuai dengan kehendak mereka.

“Kalau yakin tidak bersalah, kemukakan hujah dan bukti di mahkamah. Tidak perlu bermain dengan kad simpati dengan menghina proses undang-undang kononnya tidak bebas dan bermotifkan politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tegas Khairy, adalah sangat pelik ketika mana baru sahaja di peringkat pendakwaan tetapi telah banyak penghinaan serta herdikan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP dengan mendakwa proses undang-undang dihadapi Guan Eng ketika ini suatu bentuk pendakwaan bersifat politik.

“Malah dalam saluran media rasmi DAP sendiri telah menyatakan kononnya “tiada sebarang bukti kesalahan dapat dikemukakan” oleh pihak pendakwaan.

“Ini sangat pelik sebab perbicaraan belum lagi bermula, baru di peringkat bacaan dakwaan,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian mengulas sikap pembangkang apabila Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah dalam projek terowong ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Guang Eng mengaku tidak bersalah hari ini dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Bekas Menteri Kewangan itu juga dijangka akan menghadapi pertuduhan lain di Pulau Pinang pada 10 dan 11 Ogos.

Sementara itu, SPRM turut mengesahkan telah menahan isterinya, Betty Chew dan juga ahli perniagaan Phang Li Khoon di Pulau Pinang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.