Surau di Shah Alam ditutup, jemaah kontak rapat kluster Sivagangga

98

7 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan surau Al-Jannah di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor, diarahkan tutup serta-merta susulan salah seorang jemaahnya dikesan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga di Napoh, Jitra, Kedah.

Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, susulan itu semua operasi surau termasuk solat Jumaat, solat fardu lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan di surau ini diarah dihentikan juga.

Berikutan itu, Mohd. Shahzihan berkata JAIS juga mengarahkan Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Al-Jannah yang terletak di surau sama ditutup serta merta.

“Tindakan penutupan itu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Hanya tiga petugas jawatankuasa sahaja yang dibenarkan untuk memimpin solat fardu di surau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahzihan menegaskan pihaknya telah mengarahkan jawatankuasa surau memastikan individu berkenaan menjalankan saringan Covid-19 dan melaporkan keputusan itu kepada JAIS.

Beliau berkata proses nyah kuman di surau tersebut juga hendaklah dilakukan serta-merta di seluruh kawasan dan sekolah KAFA.

Katanya, jawatankuasa surau juga perlu sentiasa memantau dan mengingatkan jemaah dan ahli kariah untuk meningkatkan langkah-langkah pencegahan. Surau hanya boleh beroperasi semula selepas mendapat kebenaran daripada JAIS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.