Mesyuarat SPR 17 Ogos ini di Kota Kinabalu bincang tarikh PRN

103

7 OGOS: Mesyuarat Khas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berhubung Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan diadakan pada 17 Ogos ini di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah .

Kata beliau, ini seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom dan sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

PRN Sabah perlu diadakan selepas DUN dibubarkan setelah mendapat permohonan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal minggu lalu.

Pembubaran itu dipohon selepas berlaku perkembangan politik di Sabah yang menyaksikan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Ini apabila beliau memperloleh sokongan 33 ADUN Sabah untuk menjadi Ketua Menteri.

Setakat ini, Musa dan 32 ADUN berkenaan memfailkan di mahkamah berhubung status pembubaran DUN tersebut.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah menetapkan 17 Ogos depan untuk menentukan sama ada keputusan Yang di-Pertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.