Malaysia, AS tumpu pembuatan vaksin COVID-19

32

7 OGOS: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk memberikan tumpuan kepada pembuatan serta pengedaran vaksin COVID-19 apabila tersedia nanti.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam satu kenyataan menerusi Twitter berkata, perkara itu dibincangkan antara beliau dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, menerusi perbualan telefon, semalam.

Beliau dan Pompeo turut membincangkan isu Laut China Selatan dengan menyatakan bahawa perkara berkenaan mesti diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Baru saja bercakap telefon dengan Setiausaha Negara AS @SecPompeo – kedua-dua bersetuju menumpukan usaha terhadap pembuatan dan pengedaran vaksin COVID-19, apabila ia sudah tersedia.

“Turut dibincangkan mengenai Laut China Selatan yang mesti kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jurucakap Jabatan Negara AS, Cale Brown, dalam satu kenyataan melalui laman webnya, menyatakan bahawa Pompeo dan Hishammuddin juga berbincang mengenai Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia.

“Kedua-duanya turut membincangkan kerjasama ekonomi dan kesihatan yang berterusan susulan pandemik COVID-19,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu dalam ciapan terdahulu, Hishammuddin berkata, Malaysia dan China juga sepakat untuk secara aktif mengadakan kerjasama mengenai vaksin COVID-19.

Perkara itu dibincangkan melalui perbualan telefon antara Menteri Luar dan rakan sejawat dari China, Wang Yi, kelmarin, dan kedua-dua pihak bersetuju mencari jalan untuk bersama-sama memastikan keselamatan rantaian bekalan vaksin COVID-19, sekali gus memperlihatkan isyarat positif mengenai perpaduan serta kerjasama Malaysia dengan China.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.