Impian Tun M rampas kuasa dalam Bersatu berkecai

254

7 OGOS: Kerjaya politik Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berakhir apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri dan lain-lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam parti itu.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Bersatu adalah sah mengikut Seksyen 16.9 Perlembagaan Bersatu yang berbunyi ‘Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan’.

Menurut beliau, mengikut Perlembagaan BERSATU, Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2 adalah sah.

Kamarul Zaman memberitahu, tindakan Dr Mahathir dan lain-lain membawa kes berkenaan ke mahkamah menyebabkan mereka hilang keahlian secara automatik di bawah Seksyen 10.2.2 dan Seksyen 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Tindakan Tun Dr Mahathir dan lain-lain memfailkan tindakan saman di mahkamah pada 9 Jun 2020 juga mengesahkan pengguguran keahlian mereka di bawah Seksyen 10.2.6 Perlembagaan Bersatu, yang berbunyi ‘keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila seseorang ahli membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang dimasukkan oleh Dr Mahathir sendiri bagi memastikan tindakan beliau selaku Presiden UMNO tidak dicabar di mahkamah, yang berbunyi ‘keputusan sesuatu parti politik… adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan’, adalah sah.

“Oleh itu, terbuktilah sekarang bahawa impian Tun Dr Mahathir untuk mengambil-alih Bersatu dan mengusir Tan Sri Muhyiddin keluar dari Bersatu seperti yang disebut oleh beliau dalam satu sesi soal jawab di TH Hotel, Alor Setar, pada 18 Julai lalu tidak akan berlaku.

“Di sini marilah kita sama-sama menuntut Tun Dr Mahathir mengotakan janji yang beliau sebut sendiri pada malam itu, iaitu ‘jika saya kalah pada 7 Ogos, saya akan menubuhkan parti baru’, berhentilah mengganggu perjalanan Bersatu dan selamat menubuhkan parti baru,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.