Guan Eng tiba di mahkamah hadapi tuduhan rasuah

207

7 OGOS: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu akan dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan skandal projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sebaik tiba di mahkamah, Guan Eng dikawal ketat dengan diiringi pasukan polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa masuk ke bangunan mahkamah.

Ahli Parlimen Bagan itu dilihat memakai sut lengkap berwarna gelap, kemeja putih dan bertali leher merah.

Antara pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilihat hadir di mahkamah ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran; Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Suasana di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

Walau bagaimanapun, kelibat beberapa pemimpin PH yang diketahui rapat dengan Guan Eng seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN) tidak kelihatan .

Suasana di luar pekarangan mahkamah juga lengang tanpa kehadiran ramai penyokong PH yang ingin menunjukkan solidariti mereka bersama Guan Eng. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.