Guan Eng mengaku tidak bersalah minta rasuah

1,737

7 OGOS: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen PH Bagan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Guan Eng, 60, semasa memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Suapan itu sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Bekas Menteri Kewangan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Beliau bakal berdepan satu lagi pertuduhan bagi kes yang sama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini.

SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos ini mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.