Guan Eng dakwa tuduhan bermotif politik

68

7 OGOS: Walaupun kes rasuahnya masih belum dibicarakan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba menegakkan benang basah dengan mendakwa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang media selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

“Saya akan lawan tuduhan rasuah ini kerana bermotifkan politik. Dan hanya mahu cemarkan nama saya sebagai Ketua Pembangkang.

“Kita serahkan pada mahkamah untuk buktikan saya bersalah,” katanya.

Namun, Ahli Parlimen Bagan itu enggan menjawab soalan daripada wartawan dan menyerahkan kepada peguamnya yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo untuk menjawab segala pertanyaan.

Terdahulu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Beliau bakal berdepan satu lagi pertuduhan bagi kes yang sama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 10 Ogos ini.

SPRM turut mendapat izin mendakwa daripada Peguam Negara untuk Guan Eng bagi kes berlainan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada jam 9 pagi, 11 Ogos ini mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.